





Oleh: Sholina Osman
Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
19 FEB. 2025
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bahrain hari ini (19 Februari).
Menerusi hantaran dalam Facebook (FB) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan, Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri mempersembahkan perkara-perkara berkaitan perkembangan semasa negara, selain bertanyakan khabar kesihatan Seri Paduka Baginda.
TIBA DI BAHRAIN
Anwar tiba di Bahrain bagi lawatan rasmi di atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa.
Semalam, Istana Negara memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan musculoskeletal (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia pada 21 Februari ini.
Kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif serta gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda terutamanya bermain polo. – JM
