Waktu operasi sekolah di bulan Ramadan berjalan seperti biasa – KPM

Oleh: Sholina Osman
19 FEB. 2025

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bahawa pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan untuk Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan KPM berjalan seperti biasa, sama seperti tahun sebelum ini.

Kenyataan media KPM memaklumkan ia adalah berdasarkan kepada Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang digunapakai.

“KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan
Ramadan pada tahun ini,” kata kenyataan itu lagi.

DAPAT MENUNAIKAN IBADAH

Bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadah bulan Ramadan dengan selesa, KPM telah menetapkan waktu persekolahan sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan menamatkan sesi persekolahan seawal pukul 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Manakala bagi negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada pukul 5 petang.

PERSEKOLAHAN SESI PAGI

Bagi persekolahan sesi pagi ia akan beroperasi seperti biasa.

Semua Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri diminta untuk mengingatkan pengetua dan guru besar institusi pendidikan bawah KPM supaya mematuhi surat siaran tersebut.

KPM menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi Kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba untuk mengelirukan masyarakat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *