Bestari Cares Kolej Kediaman Ke-4 UM anjur program pembersihan Pantai Morib

Oleh: Sholina Osman
22 FEB. 2025

Seramai 97 peserta terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Bestari Cares termasuk pengurusan dan pelajar Kolej Kediaman Keempat (Bestari) Universiti Malaya (UM), Kelab Eco Volunteers UKM, Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat telah berkolaborasi menjayakan program “Banting Beach Clean-Up” di Pantai Morib, Banting, Selangor.

Pengarah Bestari Cares, Aina Maisarah Yahaya berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai serta melindungi ekosistem marin.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memupuk nilai-nilai cintakan alam sekitar dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat sekaligus berharap usaha ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan sokongan pelbagai pihak,” katanya.

Manakala Felo Penasihat Bestari, Cares Azura Azilah Ayub ketika mengulas mengenai program ini turut menekankan kepentingan usaha kolektif dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

PENJAGAAN DAN PEMBERSIHAN

“Usaha penjagaan dan pembersihan pantai adalah langkah penting untuk kesejahteraan komuniti setempat. Dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk penglibatan pelajar universiti, majlis perbandaran tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) ini kita dapat mengurangkan pencemaran dan memastikan pantai kekal bersih serta selamat untuk semua,” ujarnya.

Dalam pada itu Pengetua Kolej Kediaman Keempat, Prof Dr Wan Himratul Aznita Wan Harun yang ditemui menyokong penuh inisiatif ini dan menegaskan kepentingan membentuk nilai tanggungjawab serta semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

“Saya amat berharap Bestari Cares dapat terus menganjurkan lebih banyak aktiviti yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” ujar beliau.

Bagi Setiausaha Kolej Kediaman Keempat, Dr Muhamad Hilmi Abdul Rahman pula usaha ini sebagai usaha yang berterusan dalam memelihara ekosistem.

KEBERSIHAN SECARA KONSISTEN

Katanya, walaupun mereka telah melakukan pembersihan pantai dan kawasan ini namun usaha perlu dilakukan untuk terus menjaga kebersihan secara konsisten supaya supaya tidak terdedah dengan pencemaran semula.

Usaha yang dijalankan ini turut dihargai oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat dengan harapan Bestari Cares dan semua sukarelawan yang menyertai operasi pembersihan ini.

Dalam operasi yang dijalankan ini mereka berjaya mengumpul pelbagai jenis sampah termasuk plastik, kaca, pakaian dan sisa makanan sepanjang pantai dalam masa beberapa jam.

Di akhir program semua peserta menerima sijil penyertaan sebelum rakaman gambar kenangan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *