Syarikat korporat dipelawa tampil bantu baikpulih rumah asnaf Parlimen Bandar Tun Razak

Oleh: Sholina Osman
23 FEB 2025

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempelawa supaya lebih banyak lagi syarikat korporat tampil bekerjasama bagi membaikpulih rumah asnaf yang telah dikenalpasti di kawasan ini.

“Saya amat mengalu-alukan syarikat korporat yang berminat untuk bekerjasama supaya menghubungi
pejabat Parlimen Bandar Tun Razak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Ihsan Madani – Projek Baik Pulih Rumah Asnaf, Skim Bantuan Awal Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Bantuan Khas & Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak di Apartmen Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Pada hari bersejarah ini, kita dapat
menyaksikan usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) baikpulih rumah asnaf yang dijalankan oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan demi membantu salah seorang penduduk di sini yang uzur iaitu Rokiah Ismail, yang hidup bersendirian dan amat memerlukan bantuan untuk mendapatkan rumah yang selamat didiami,” katanya.

PERBELANJAAN BAIKPULIH RUMAH

Ucap Dr Wan Azizah, beliau difahamkan perbelanjaan baikpulih rumah berkenaan mencecah RM30,000 dan diserahkan semula rumah kepada Rokiah.

“Usaha murni Syarikat Perumahan
Wilayah Persekutuan ini amatlah murni,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, sempena majlis ini sembilan orang pelajar menerima Skim Bantuan Awal untuk masuk ke IPT dari Yayasan Wilayah Persekutuan sebanyak RM700 setiap orang.

Beliau berkata, skim ini merupakan bantuan secara one-off untuk pelajar IPT bagi memulakan pengajian di peringkat Sijil, Diploma atau Ijazah Sarjana Muda di IPTA atau IPTS.

TIGA INDIVIDU MENERIMA

Selain itu katanya, tiga individu menerima Bantuan Perubatan Yayasan Wilayah Persekutuan berdasarkan keperluan pesakit.

“Skim ini juga adalah secara one-off untuk meringankan beban kewangan pesakit dalam mendapatkan rawatan, ubat-ubatan, serta perkhidmatan kesihatan yang diperlukan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, seramai 100 orang penduduk di Desa Tasik pula
menerima bantuan Bakul Makanan MADANI dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

“Semoga semua bantuan yang diberikan pada hari ini dapat membantu warga Bandar Tun Razak untuk hidup dalam keadaan lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu warga Bandar Tun Razak, iaitu Yayasan Wilayah Persekutuan;
Syarikat Perumahan Wilayah
Persekutuan (SPWP); Dewan Bandaraya Kuala Lumpu (DBKL); Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) WP Bandar Tun Razak; Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan individu yang terlibat secara langsung atau tidak. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *