Tanggungjawab digalas Jemaah Menteri bakal corak masa depan 34 juta rakyat – PMX

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 FEB. 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa peranan, tugas dan tanggungjawab yang digalas anggota Jemaah Menteri bakal memberi impak dan mencorak masa depan 34 juta rakyat negara ini.

Beliau berkata, jika masih berlaku keterlanjuran salahguna kuasa, rasuah, khianat, dan sebagainya, agak sukar untuk Kerajaan MADANI membuat perubahan dan terus mengejar impian menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing di pentas dunia.

Perdana Menteri berucap demikian
pada majlis penutup Permukiman Kerajaan MADANI Tahun 2025.

Beliau juga mengulangi kepentingan untuk bekerja sebagai sebuah pasukan yang menuntut kebersamaan serta kesatuan yang tinggi.

SEKADAR MEMBERI PELUANG

“Saya sudah memaklumkan bahawa pemukiman ini (semasa sidang media) ia bukan sekadar memberi peluang kepada menteri untuk mengemukakan pandangan,” katanya dalam hantaran di FB.

Jelas Perdana Menteri, ia juga berfungsi sebagai platform untuk menerima laporan dan teguran daripada pihak berkecuali, termasuk akademik serta penjawat awam.

“Saya percaya, kritikan yang ada perlu diterima dengan hati terbuka sekaligus memberi ruang untuk memperbaiki kelompongan yang ada dalam kerajaan,” jelasnya.

Tambahnya, ia membawa kepada keperluan kesatuan dan kebersamaan untuk berfungsi sebagai sebuah kerajaan MADANI yang benar-benar mengangkat suara dan kehendak rakyat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *