KEADILAN tidak berganjak matlamat asal perjuang keadilan untuk rakyat – Dr Wan Azizah

Oleh: Sholina Osman
23 FEB. 2025

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, KEADILAN tidak akan berganjak dari matlamat asalnya di mana akan terus memperjuangkan keadilan bagi seluruh rakyat, sesuai dengan semangat dan falsafah yang terkandung dalam nama parti ini sendiri.

“Kita kini berada dalam fasa baharu perjuangan dengan melaksanakan pembaharuan institusi, memastikan tadbir urus yang cekap dan berintegriti, serta mengangkat martabat rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Makan Malam KEADILAN Wilayah Persekutuan 2025 di Wisma KTC, Kuala Lumpur.

Dr Wan Azizah berkata, dalam pelbagai rintangan yang dilalui, hak dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama akan diperjuangkan secara konsisten.

INILAH LEGASI KITA

“Inilah kebanggaan kita sejak
dahulu, dan inilah legasi kita harus pertahankan,” kata beliau.

“Malam ini saya melihat ramai wajah yang saya kenali, dari rakan
seperjuangan yang telah bersama sejak era Reformasi 1998, hingga
kepada generasi baru yang meneruskan obor perjuangan ini,” tambahnya.

Kata Dr Wan Azizah, masing-masing telah menyaksikan sendiri jatuh bangunnya parti ini.

Tambahnya, pelbagai cabaran dilalui dari jalanan ke pentas politik arus perdana, dari demonstrasi jalanan ke tampuk kepimpinan negara di Putrajaya.

SEBAGAI PARTI TUNJANG

“Hari ini, Parti KEADILAN Rakyat berdiri sebagai parti tunjang dalam menerajui kerajaan, satu pencapaian yang hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan, ketabahan, dan keikhlasan semua yang berada di sini,” katanya.

Jelas Dr Wan Azizah, perjuangan reformasi tidak berakhir dengan pelantikan Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Malah katanya tanggungjawab semakin besar dalam memastikan agenda reformasi terus direalisasikan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *