RM69 juta bina 301 bilik darjah tambahan baharu di Selangor guna kaedah IBS – Fadhlina

Oleh: Sholina Osman
23 FEB. 2025

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan sebanyak RM69 juta untuk pembinaan 301 bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) di 95 buah sekolah seluruh Selangor.

Sekaligus katanya, Selangor akan menerajui pembinaan kaedah IBS sebagai penyelesaian jangka pendek.

“Ini memandangkan Selangor adalah negeri yang mempunyai paling banyak sekolah dengan jumlah pelajar yang padat,” kata Fadhlina menerusi hantaran di FB.

Sebelum itu Fadhlina melakukan tinjauan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya.

PERSEKOLAHAN SESI BAHARU

Beliau melihat sendiri pengoperasian persekolahan sesi baharu dan penggunaan 12 buah bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS di sekolah tersebut.

Projek pemasangan bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS termasuk kerja ubah suai berkaitan, pendawaian elektrik, perabot, peralatan dan tandas bernilai RM2 juta ini telah diserahkan kepada SK Cyberjaya pada bulan September tahun lalu.

Kemudahan bilik darjah tambahan baharu ini telah beroperasi sepenuhnya dan memberi manfaat kepada lebih 400 orang murid.

Pembinaan bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS adalah penyelesaian jangka pendek dan efektif bagi menangani isu sekolah padat.

DAPAT MEMBERI KESELESAAN

Ia dapat memberi keselesaan kepada kepada guru dan murid mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Bagi penyelesaian jangka panjang, sekolah baharu iaitu SK Cyberjaya 2 yang dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.

MENINGKATKAN AKSES PENDIDIKAN

Fadhlina berkata, Kerajaan MADANI memang komited untuk meningkatkan akses pendidikan dan menangani isu sekolah padat.

“Ini dibuktikan menerusi kelulusan pembinaan 44 buah sekolah baharu di seluruh negara pada tahun ini dan 26 lagi pada tahun 2024,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *