






Oleh: Sholina Osman
23 FEB. 2025
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Akademi Asas Penerangan (ASAS) di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Kuala Lumpur.
Program Rintis ASAS merupakan inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang bertujuan memperkasa peranan dan kemahiran Komuniti MADANI dalam menjelaskan dasar serta inisiatif kerajaan di peringkat akar umbi.
Ia mendapat kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), IPPTAR, Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
ASAS AKAN DIPERLUAS
Sementara itu pada sidang media, Fahmi berkata, ASAS akan diperluas ke seluruh negara.
Katanya, ia bagi memperkasa 1,878 pasukan Komunikasi Komuniti MADANI sebagai jentera penyebar maklumat kerajaan.
Jelasnya, modul latihan merangkumi pengaplikasian teknologi digital untuk menangkis penyebaran berita palsu. – JM
