
Oleh: Sholina Osman
5 MAC 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) seiring dengan sasaran Malaysia sifar bersih seawal 2020 apabila berjaya memperolehi pengiktirafan empat Diamond menerusi Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C) yang bermula Mei 2024.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menyampaikan anugerah tersebut kepada Pengarah Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM), Prof. Madya Ts. Dr. Irnis Azura Zakarya yang mewakili Naib Canselor UniMAP di Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024 yang berlangsung di Sofitel Hotel KL Damansara, baru-baru ini.
Dr. Irnis Azura berkata, UniMAP telah merekodkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 25.86 peratus di antara 2019 dan 2023 berdasarkan audit yang telah dijalankan terhadap empat elemen utama iaitu tenaga, air, sisa dan landskap.
INI MENUNJUKKAN PENINGKATAN
“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan daripada tiga Diamond pada tahun 2022 kepada empat Diamond pada tahun 2024,” katanya menerusi kenyataan media UniMAP.
Beliau berkata, ini adalah hasil komitmen pihak UniMAP dalam menjalankan inisiatif-inisiatif pengurangan karbon khususnya di Kampus Alam Pauh Putra sejajar dengan komitmen Malaysia untuk pengurangan 45 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang tahun 2030.
Tambahnya lagi, antara inisiatif yang dijalankan adalah dengan penukaran lampu jalan, lampu bangunan dan lampu limpah kepada jenis LED di seluruh kampus.
“Kita juga telah melaksanakan penukaran penyaman udara unit berpecah kepada jenis cekap tenaga selain pemasangan pemasa di surau kolej kediaman bagi mengawal operasi unit penghawa dingin hanya waktu solat sahaja,” tambahnya.
DIPASANG PENDERIA GERAKAN
Selain itu, katanya turut dipasang penderia gerakan bagi mengawal lampu dan penggunaan “water flush” di tandas dan koridor di sekitar kampus.
Tidak ketinggalan, kerja-kerja pembaikan sistem paip bekalan air yang bocor di bangunan-bangunan di sekitar kampus Pauh turut diadakan.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli ketika berkata, universiti sentiasa melaksanakan program-program kesedaran dan kempen-kempen berkaitan kelestarian secara konsisten sepanjang tahun bagi menggalakkan kelestarian alam sekitar.
“UniMAP aktif menganjurkan program webinar dan kursus-kursus secara berkala serta turut menggalakkan aktiviti kitar semula sepanjang tahun,” katanya.
PENGLIBATAN WARGA UNIVERSITI
Selain itu, katanya, Program Anugerah Lestari iaitu pertandingan kelestarian di antara fakulti dan jabatan di UniMAP turut dianjurkan bagi mendorang penglibatan warga universiti dalam usaha mencapai sifar bersih seawal 2050.
Mengulas lanjut, untuk penyertaan dalam Program LCC2030C, pihak COSCEM UniMAP telah dipertanggungjawabkan bagi penyediaan data dan sesi audit bersama Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC).
Selain itu, katanya, pihak COSCEM UniMAP turut bertindak sebagai perunding kepada penyertaan Masjid Al-Ghufran Batu 2 Lama, Kangar yang telah berjaya meraih anugerah tiga Diamon menerusi Kategori Rakan Kongsi.
“Kejayaan ini menjadikan Masjid Al-Ghufran sebagai masjid kedua di Perlis yang diiktiraf sebagai zon rendah karbon,” katanya. – JM
