Industri jualan langsung di Malaysia sumbang RM34.4 bilion – Fuziah

Oleh: Sholina Osman
10 MAC 2025

Sumbangan industri jualan langsung kepada ekonomi negara yang
direkodkan pada penghujung tahun 2024 telah mencatatkan RM34.4 bilion, iaitu peningkatan 7.4 peratus berbanding RM32.04 bilion dalam rekod sebelumnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh berkata, kesungguhan industri jualan langsung di Malaysia juga berjaya mengekalkan pencapaian di kedudukan ke-6 dunia dan ke-4 Asia Pasifik bagi tahun dari tahun 2020 hingga 2024 berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh World Federation of Direct Selling Associations (WFDSA).

Beliau berkata, Malaysia juga telah diiktiraf sebagai negara yang mencatatkan penembusan pasaran tertinggi (No.1) di peringkat global dengan jumlah peratusan 2.28 peratus.

TAHAP YANG SETARA

“Pengiktirafan ini berjaya mengangkat industri jualan langsung Malaysia ke tahap yang setara dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman, China, dan Jepun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu pada majlis Penyerahan Lesen Jualan Langsung, Fauziah telah menyampaikan Lesen Jualan Langsung kepada 45 syarikat iaitu 18 syarikat lesen baharu dan 27 syarikat lesen pembaharuan.

Justeru itu katanya, melalui pemberian lesen jualan langsung ini, diharapkan agar semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti, kejujuran, dan memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi.

UNTUK MERANCAKKAN PEMBANGUNAN

Beliau berkata, KPDN akan meneruskan agenda untuk merancakkan pembangunan
industri jualan langsung melalui usaha mendaya upaya perkhidmatan dan
produk ke arah pewujudan ekosistem perniagaan yang kondusif serta
dinamik.

“Kerajaan kekal optimis bahawa industri jualan langsung akan
cemerlang dan berkembang secara holistik di samping mampu
mewujudkan peluang perniagaan, menjana pendapatan masyarakat,
serta memberi impak positif melalui sumbangan kepada pembangunan
dan pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *