





Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan UniMAP
11 APRIL 2025
Gegaran dirasa bagai gempa bumi bukan sahaja menjadikan keadaan sekeliling kelam kabut sehingga terpisah dengan ahli keluarga hampir 24 jam adalah pengalaman tragis yang dikongsikan oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nurin Husna Ahmad Baharudin.
Nurin Husna antara mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025.
Dalam kenyataan media UniMAP memaklumkan semasa hari kejadian, Nurin Husna ketika itu sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat disusuli bahang panas yang menerpa dari arah dapur.
“Dalam keadaan terkejut itu membuatkan dengan sepintas kilat saya meluru keluar rumah dengan pakaian sehelai sepinggang dan masa itu yang sempat dicapai hanya telefon bimbit,” ujarnya yang masih trauma.
TERPISAH DENGAN IBUNYA
Lebih menakutkan katanya, beliau turut terpisah dengan ibunya ketika cuba menyelamatkan diri.
“Ibu pula yang berkaki ayam semasa berlari keluar dari rumah mengalami kecederaan pada kaki akibat terpijak serpihan kaca dan objek tajam di kawasan kejiranan,” katanya.
Nurin Husna kini ditempatkan bersama keluarga di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, bersama mangsa-mangsa lain yang turut terjejas dalam insiden berkenaan.
Sebagai tanda keprihatinan dan solidariti, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) segera tampil menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Nurin Husna dan keluarganya.
TELAH MELANCARKAN TABUNG
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pihak universiti telah melancarkan tabung bantuan kilat dan berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM6,305.00.
“Inisiatif ini merupakan simbol keprihatinan seluruh warga UniMAP terhadap pelajar yang dilanda musibah. Kami amat bersimpati dan akan sentiasa berusaha memberikan bantuan sewajarnya,” ujar beliau.
Malah dalam usaha meringankan beban yang ditanggung oleh Nurin Husna, UniMAP turut memberikan kelonggaran berkaitan kehadiran kuliah serta komitmen akademik pelajar tersebut.
MEMBERI SOKONGAN MENYELURUH
“Kelonggaran ini adalah selaras dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi agar institusi pendidikan tinggi memberi sokongan menyeluruh kepada pelajar yang terlibat dalam bencana.
“Kami percaya insiden yang berlaku ini pasti meninggalkan kesan emosi yang mendalam, namun kami berharap dengan semangat kebersamaan dan solidariti yang ditunjukkan oleh UniMAP serta masyarakat sekitar akan memberi sinar harapan dan kekuatan buat semua mangsa untuk bangkit semula,” kata Zaliman.
Turut hadir dalam sesi ziarah dan penyerahan sumbangan di PPS ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi; dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2024/2025, Muhammad Syamil Ramlan. – JM
