Logo baharu MSN Perlis transformasi perkasa pembangunan sukan – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
13 APRIL 2025

Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis kini tampil dengan logo rasmi baharu, sebagai simbol transformasi organisasi ini dalam memperkasakan pembangunan sukan berprestasi tinggi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah perubahan imej korporat itu, bukan sekadar visual malah mencerminkan semangat baharu MSN untuk terus berdaya saing dan relevan dalam ekosistem sukan tanah air.

“Logo baharu ini melambangkan keberanian, kekuatan dan keteguhan pasukan. Lakaran singa yang terbentuk daripada huruf M-S-N-Ps bukan sahaja memperkukuh identiti organisasi, tetapi menggambarkan iltizam dalam melahirkan atlet berkualiti tinggi hingga ke Sukan Olimpik,” titah Baginda ketika berkenan berangkat merasmikan pelancaran logo rasmi MSN
Perlis dan menyempurnakan majlis penghargaan atlet negeri Perlis tahun 2024 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra tbertitah menyarankan supaya lapan pendekatan utama dijadikan panduan dalam membina ekosistem pembangunan atlet, antaranya daripada segi disiplin diri, kekuatan mental, latihan intensif hingga penggundan teknologi sukan.

LENCANA KUNING BIRU

“Jangan sesekali atlet berasa kerdil apabila menyemat lencana kuning biru,” titah Baginda.

Baginda bertitah, semangat anak Perlis tiada tolok bandingnya dan tiada jalan pintas dalam dunia sukan, kejayaan hanya milik mereka yang konsisten dan tidak pernah menyerah walau berapa kali jatuh.

Baginda juga mendoakan agar kontinjen negeri dapat melakar sejarah baharu dengan melepasi sasaran 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), di Selangor kelak.

Untuk rekod, kontinjen Perlis mencatatkan pencapaian membanggakan apabila meraih keseluruhan 43 pingat, terdiri daripada 12 emas, 15 perak dan 16 gangsa pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak, Ogos lalu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *