






Oleh: Sholina Osman
25 APRIL 2025
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah Jubli Perak adalah sebagai titik muhasabah untuk semua bagi memperkukuh nilai-nilai murni, memperkasa institusi kekeluargaan, mempertingkat ilmu pengetahuan dan memelihara keharmonian yang telah dibina bersama.
Baginda bertitah, negeri kecil ini mempunyai potensi besar jika terus diterajui denga keikhlasan dan wawasan yang tinggi.
Sehubungan itu Baginda menyeru semua pihak terus menjunjung prinsip keadilan, keutuhan pentadbiran dan kelestarian alam sekitar dalam setiap dasar dan tindakan.
PERLIS TERUS DIKENALI
“Biarlah Perlis terus dikenali bukan sahaja sebagai negeri yang aman, tetapi juga sebagai negeri yang bijak mengimbangi kemajuan dengan warisan, moden dengan nilai dan pembangunan dengan kesejahteraan,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan mercu tanda sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda sebagai Raja Perlis, di Padang Besar.
Berkenan berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
INGIN MERAKAMKAN PENGHARGAAN
“Beta ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga
kepada Kerajaan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua pihak yang terlibat secara langsung m mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan mercu tanda ini di mana ia merupakan suatu penghormatan besar yang amat menyentuh hati,” titah Baginda.
Titah Baginda, sesungguhnya 25 tahun pemerintahan ini telah
memperlihatkan pelbagai cabaran dan kejayaan.
“Beta bersyukur kerana sepanjang tempoh tersebut, Negeri Perlis
telah berkembang secara beransur-ansur dalam pelbagai aspek – daripada pembangunan ekonomi, infrastruktur, pendidikan, hinggalah kepada perpaduan masyarakat yang
utuh,” kata Baginda.
HASIL USAHA INDIVIDU
Baginda bertitah, segala pencapaian ini bukanlah hasil usaha individu,
tetapi berkat kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan, serta sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak.
Baginda juga ingin menzahirkan rasa kasih dan penghargaan kepada sekalian rakyat Perlis yang sentiasa menjunjung tinggi institusi Raja di negeri ini.
Tuanku Syed Sirajuddin juga menzahirkan perasaan amat terharu dengan semangat kesetiaan, keikhlasan dan rasa hormat yang ditunjukkan oleh rakyat sepanjang pemerintahan ini.
ADALAH SIMBOL KEUTUHAN
Titah Baginda, mercu tanda yang berdiri megah bukan sekadar struktur fizikal semata-mata malah adalah simbol keutuhan, kesepaduan dan cinta rakyat terhadap negeri ini.
“Semoga ia menjadi tempat yang menyatukan kenangan, membina harapan, dan membakar semangat generasi akan datang untuk terus menyumbang kepada negeri ini dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab,” titah Baginda. – JM
