Mana mungkin saya tidur lena jika masih ada yang tidak ke sekolah – Fadhlina

Petikan FB Fadhlina Sidek
25 APRIL 2025

Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu,
Tinggi lagi sayang pada kamu,
Walaupun Aidilfitri hampir berlalu,
Saya datang hanya untuk kamu.

Sabah menjadi destinasi pertama yang saya lawati pasca pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Kerana apa? Walaupun keputusan SPM 2024 menunjukkan pencapaian yang positif, kita tidak boleh berpuas hati dan berhenti berusaha.

Data dan analisis peperiksaan perlu difahami sepenuhnya dalam kita merangka intervensi selanjutnya untuk penambahbaikan.

PENINGKATAN PRESTASI PEPERIKSAAN

Beberapa tahun kebelakangan Sabah telah menunjukkan peningkatan prestasi peperiksaan SPM yang cukup baik. Bagi terus memacu kecemerlangan, saya tekankan kepada seluruh warga pendidikan di Sabah untuk memecahkan tembok ‘psychological barrier’ yang mungkin masih membelenggu anak-anak.

Anak-anak perlu percaya mereka boleh berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan. Keyakinan mereka perlu dipertingkatkan. Bakat serta kebolehan mereka perlu digilap dan dihargai.

Saya ingin warga pendidikan di Sabah untuk memberi perhatian sepenuhnya memastikan kehadiran murid di sekolah dan pada waktu sama meningkatkan literasi. Ia memerlukan iltizam, komitmen dan tumpuan berterusan di semua peringkat.

Jika ada keperluan khusus seperti pembinaan asrama desa untuk memudahkan persekolahan anak-anak di pedalaman, kita akan berikan sepenuh perhatian.

TIDAK KE SEKOLAH

Mana mungkin saya tidur lena jika masih ada yang tidak ke sekolah, tiada kelengkapan atau menghadapi kendala-kendala lain yang menghambat. Anak-anak ini lahir dengan hak untuk mendapat pendidikan terbaik.

Sebab itu komitmen kita di Kementerian Pendidikan (KPM) adalah untuk menoktahkan isu keciciran murid menerusi pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib Sekolah Menengah.

Saya percaya putaran ganas pendidikan hanya dapat diputuskan menerusi pendidikan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *