




3 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Kosovo, Dr. Vjosa Osmani Sadriu mengadakan perbincangan dua hala khususnya dalam meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan serta kesalinghubungan antara rakyat.
“Kami juga senada tatkala membicarakan isu-isu antarabangsa yang menjadi keprihatinan bersama merangkumi soal perjuangan rakyat Palestin dan keamanan sejagat,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Sebelum itu Anwar menerima penganugerahan darjah ‘Order of lndependence’ daripada Presiden Osmani Sadriu.
PENGIKTIRAFAN DAN PENGHARGAAN
“Ia adalah pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan serta sokongan berterusan Kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap kemerdekaan dan pembangunan Kosovo,” katanya.
Dalam sidang media bersama Presiden Osmani Sadriu, Perdana Menteri menegaskan bahawa hubungan Malaysia-Kosovo bukan sekadar ikatan diplomatik biasa, sebaliknya mencerminkan komitmen Malaysia sebagai sahabat sejati kepada rakyat Kosovo.
Lawatan rasmi ini adalah detik bersejarah memandangkan Malaysia menjadi antara negara terawal mengiktiraf Kosovo sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.
Malaysia mengikuti rapat sejarah perjuangan Kosovo dan menzahirkan kekaguman terhadap ketabahan rakyatnya berdepan penindasan.
KOSOVO MEMBUKA KEDUTAANNYA
“Kami turut menyambut baik keputusan Kosovo membuka kedutaannya di Kuala Lumpur,” katanya.
Ini adalah langkah penting yang akan memperkukuh hubungan dua hala dan membuka peluang kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, pendidikan, budaya, pelancongan sektor halal dan sebagainya.
Pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf antarabangsa turut memberi ruang kepada Kosovo untuk menembusi pasaran lebih luas.
“Saya nyatakan komitmen Malaysia untuk mempercepatkan rundingan bagi memperkasa hubungan ekonomi, pelaburan dan program-program strategik kedua-dua negara,” ujar Perdana Menteri. – JM
