




Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan
Iskandar
21 MEI 2025
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini (21 Mei).
Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor
Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Terdahulu, pesawat khas Seri Paduka Baginda tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 10 pagi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.
Seri Paduka Baginda dengan diiringi paduka-paduka anakanda kemudian berkenan melawat beberapa reruai di MIEC.
LIMA’25 menyaksikan penyertaan sebanyak 860 syarikat pempamer, yang terdiri daripada 426 syarikat antarabangsa dan 434 syarikat tempatan.
Pameran yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini turut menampilkan penyertaan rasmi daripada 46 buah negara, menjadikannya antara edisi terbesar dalam sejarah penganjurannya sejak lebih tiga dekad lalu. – JM
