



Wartawan JM
2 JULAI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia selamat tiba di Rom, Republik Itali dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di sini.
Beliau berkata, kunjungan ini atas jemputan Perdana Menteri Giorgia Meloni sebagai tanda
komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Itali berteraskan prinsip serta semangat persahabatan, keyakinan dan saling hormat.
RAKAN STRATEGIK PENTING
“Malaysia melihat Itali sebagai rakan strategik penting di benua Eropah dan kita komited untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan serta sektor peralihan tenaga,” katanya dalam hantaran di FB.
Selain itu, kata Perdana Menteri, selaku Pengerusi ASEAN, kunjungan ini juga akan memperhebat nilai pada sisi hubungan rantau Asia Tenggara dan Eropah dalam landskap geopolitik dan geoekonomi yang terus mencabar.
“Saya yakin lawatan ini akan membuka lembaran baharu yang lebih dinamik, menghasilkan manfaat yang konkrit serta melonjak hubungan Malaysia dan Itali ke tingkat yang cemerlang dan terbaik,” kata beliau. – JM
