


Oleh: Sholina Osman
17 JULAI 2025
Hampir 100 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi, Perlis telah menyertai program Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis bagi meningkatkan kesedaran murid tentang keselamatan siber.
Program ini memberi pendedahan awal kepada risiko dalam talian dan mengajar murid tentang tingkah laku beretika semasa menggunakan internet, selari dengan fokus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap keselamatan digital pelajar sekolah rendah.
“Kalangan murid termasuk ketua kelas sekolah berkenaan telah memberikan maklum balas positif setelah menyertai program KIS,” kata MCMC dalam hantaran di FB.
APA YANG BOLEH
Murid Tahun Enam, Fariesya Sirien Nawra Mohd Hasani berkata, “Sekarang saya tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam talian.
“Kita tak sepatutnya kongsi gambar atau maklumat peribadi,” katanya.
Bagi Chinta Nurmaisarah Imani Zairi dia seronok dan belajar perkara baru tentang cara kekal selamat dalam talian.
Kempen ini mencerminkan komitmen MCMC untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat bagi generasi muda Malaysia, dengan perancangan untuk diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa akan datang. – JM
