


Oleh: Sholina Osman
17 JULAI 2025
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini (17 Julai).
Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan persidangan anjuran Kementerian Komunikasi (KK) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini berlangsung selama dua hari bermula 16 Julai 2025.
Ia disertai lebih 500 orang terdiri daripada sektor kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil, persidangan ini menjadi landasan penting ke arah pelaksanaan menyeluruh Sistem Alamat Nasional (NAS) di negara ini, memberi fokus kepada dasar strategik dan amalan terbaik global dalam tadbir urus pengalamatan.
SESI PANEL PAKAR
Selain sesi panel pakar dan pembentangan teknikal, turut dianjurkan pameran interaktif, sesi jaringan antara agensi dan perbincangan kolaboratif yang menyumbang kepada hala tuju bersama bagi masa depan pengurusan alamat di Malaysia.
NAS menjadi platform untuk memulakan wacana peringkat nasional mengenai dasar, sistem dan tadbir urus berkaitan alamat di Malaysia; memperkukuh pengurusan alamat secara bersepadu di seluruh negara selain mengenal pasti
penyelesaian inovatif berkaitan pengurusan alamat.
Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 12 juta alamat, namun masih tiada pangkalan data nasional yang seragam. Ketidakseragaman data ini menjejaskan kecekapan
perkhidmatan dan operasi, perancangan polisi, tindak balas kecemasan dan membawa kepada kebergantungan kepada teknologi luar.
SATU PEMACU UTAMA
NAS telah dikenal pasti sebagai salah satu pemacu utama dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital yang lebih menyeluruh dan berdaya saing,
berpotensi menjadi satu asas kepada pembangunan bandar pintar serta
membolehkan pelaksana sistem-sistem pintar seperti pengangkutan awam bersepadu, pengurusan tenaga yang cekap dan pelbagai perkidmatan automasi yang lain.
Sistem ini dijangka membawa pelbagai manfaat nyata kepada rakyat, memperkukuh sektor-sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier.
Dengan penggunaan alamat dan lokasi koordinat yang tepat bagi setiap destinasi, penghantaran dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, efisien, serta mengurangkan
risiko kesilapan penghantaran. – JM
