






Oleh: Sholina Osman
5 OGOS 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar industri ‘Tembikar Kechor Perlis’ dapat dihidupkan kembali di negeri ini sebagai satu produk warisan yang secara tidak langsung dapat dijadikan bahan jualan dan cendera kenangan untuk para pelancong yang bertandang ke sini.
Perkara tersebut dikongsikan bersama dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff serta Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), Datuk ‘Ainu Sham Ramli ketika baginda berangkat menghadiri Festival Kraf Utara (FKU) 2025 bermula 24 Julai hingga 4 Ogos 2025 selama 12 hari baru-baru ini bertempat di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Batu 5 Jalan Kuala Perlis.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda puteri iaitu Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Menurut buku berjudul ‘Tembikar Tradisional Malaysia’ terbitan Kraftangan Malaysia 2005, ‘Pada suatu masa dahulu negeri Perlis juga tidak ketinggalan dalam bidang perusahaan tembikar kerana tanah yang terdapat di sini untuk dijadikan tembikar.
SEKITAR TAHUN 1820
Perusahaan ini dipercayai bermula sekitar tahun 1820 dan diperkenalkan oleh sepasang suami isteri, Tok E Chu dan Tok Tinggi yang berasal dari Setul, selatan Thailand yang telah menetap di Kampung Kechor, Perlis.
Bermula dari sinilah pasangan ini dan anak mereka Tok E Long serta nenantu mereka Tok Timah bergiat menjalankan perusahaan ini.
Kepakaran mereka diajarkan kepada penduduk Kampung Kechor sehingga perusahaan ini berkembang dan menjadi kerja sampingan selain bertani.
Kesesuaian tanah menjadi faktor utama kegiatan ini dapat berjalan dengan lancar di samping tanah tersebut mudah diperolehi.
Tanah-tanah ini diambil dari tebing sungai dengan cara menggalinya’.
DEMONTRASI PEMBUATAN TEMBIKAR
Di program tersebut Tuanku Raja Muda berkenan menyaksikan demonstrasi pembuatan tembikar tradisional Kechor Perlis tersebut serta tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri teknik membuatnya.
Lebih 70 orang usahawan kraftangan menyertai Festival Kraf Utara (FKU) 2025 kali ini yang menghimpunkan warisan seni dan kemahiran kraftangan dari negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis sendiri, Kedah, Pulau Pinang dan juga Perak.
Ia juga menawarkan para pengunjung pelbagai produk tempatan merangkumi kraf tekstil, hasil rimba, tanah liat, logam dan tenunan tradisional.
Antara tarikan utama termasuklah demonstrasi secara langsung seperti mencanting batik, anyaman, ukiran kayu dan tenunan, di samping bengkel interaktif yang memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba sendiri proses pembuatan kraf.
Melalui pendedahan langsung dan penglibatan masyarakat, FKU 2025 menjadi medium penting untuk menanam semangat cinta budaya, mengetengahkan identiti nasional dan memartabatkan hasil kraf tempatan ke peringkat lebih tinggi. – JM
