



4 Ogos 2025
KUALA LUMPUR :-
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri menjawab pertanyaan bagi Jawab Lisan daripada YB Tuan Lee Chean Chung, Ahli Parlimen Petaling Jaya pada giliran pertama berkenaan dengan tindakan untuk menyelesaikan isu rasuah dan penyelewengan kuasa secara menyeluruh di pintu masuk KLIA berikutan isu sindiket Fly dan U-turn yang telah menjejaskan imej negara di Dewan Rakyat hari ini. Dalam giliran ini juga, beliau turut menjawab soalan tambahan yang diajukan oleh YB Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh, Ahli Parlimen Besut tentang status tangkapan pegawai yang terlibat dengan Counter Setting.
Beliau turut menjawab pertanyaan bagi Jawab Lisan daripada YB Tuan Chiew Choon Man, Ahli Parlimen Miri pada giliran kelima tentang garis panduan terkini bagi kanak-kanak warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara berikutan kelulusan pindaan Perlembagaan pada awal tahun ini serta status permohonan bagi mereka yang telah memohon.
Pada giliran kesepuluh, beliau telah menjawab pertanyaan daripada YB Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu, Ahli Parlimen Batu Gajah berkenaan dengan keberkesanan program Parol termasuk peluang pekerjaan bagi banduan serta strategi kementerian untuk mengubah persepsi majikan dan masyarakat memperkasakan bekas banduan sebagai tenaga kerja produktif.
Terdahulu, sesi precouncil bagi pertanyaan Jawab Lisan kepada YB Menteri Dalam Negeri telah berlangsung dengan kehadiran YBhg. Datuk Haji Makhzan bin Mahyuddin, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pegawai-pegawai kanan KDN daripada Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan RELA, Bahagian Perancangan Strategik, Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Bahagian Urus Setia Lembaga Parol, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Negara.
