Ipoh Sentral diharap jadi contoh terbaik pembangunan berteras nilai MADANI – PMX

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
16 OGOS 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Ipoh Sentral akan dapat menjadi contoh terbaik pembangunan berteraskan nilai-nilai MADANI.

Beliau berkata Ipoh Sentral merupakan sebuah lagi projek berskala besar yang dibangunkan sepenuhnya melalui inisiatif swasta hasil kolaborasi strategik antara Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

“Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM6.25 bilion, projek ini bakal menjadi mercu tanda ikonik baharu di tengah-tengah Bandaraya Ipoh, mencerminkan kemajuan yang berpaksikan wawasan jangka panjang,” kata beliau dalam hantaran di FB.

MAJLIS PECAH TANAH

Terdahulu Anwar merasmikan Majlis Pecah Tanah Fasa 1: Pengindahan Landskap dan Taman Projek Ipoh Sentral di Tapak Projek Ipoh Sentral, Ipoh, Perak.

“Kita tidak mahu lagi pembangunan fizikal yang megah tetapi kosong daripada jiwa budaya,” kata beliau.

Sebaliknya, kata Anwar setiap pembangunan mesti membawa roh kemanusiaan yang menjunjung prinsip ihsan, hormat, kelestarian, dan maruah bangsa.

IA MEMERLUKAN SINERGI

Untuk merealisasikan hasrat ini, beliau berkata ia memerlukan sinergi dan kerjasama erat antara pemaju, pihak berkuasa bandaraya, serta kementerian-kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan, dan agensi-agensi lain yang relevan.

“Moga pembangunan ini membuka pintu peluang baharu, menyemai keyakinan warga, dan memperkukuh identiti Ipoh sebagai sebuah bandaraya yang hidup, inklusif dan berdaya saing,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *