“Perlis Connect” bukan sekadar perluas Internet tapi keterangkuman digital menyeluruh – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
17 OGOS 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah “Perlis Connect” bukan sekadar inisiatif untuk memperluas
capaian Internet, tetapi merupakan manifestasi sebenar keterangkuman digital yang menyeluruh dan merangkumi semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

Baginda bertitah komitmen jitu yang ditunjukkan oleh Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), syarikat-syarikat telekomunikasi, serta para rakan strategik amat membanggakan.

DITERUSKAN DAN DIPERLUAS

“Usaha bersepadu ini wajar diteruskan dan diperluas demi memastikan impak yang berterusan kepada rakyat,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Program “Perlis Connect” di Padang Besar Street, Padang Besar.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Rus’sele Eizan dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Hadir sama Ahli Suruhanjaya MCMC Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

TIDAK LAGI TERHAD

Baginda bertitah teknologi tidak lagi terhad kepada bandar-bandar besar, tetapi kini turut menyinari pekan-pekan kecil dan perkampungan mencipta peluang pekerjaan,
menambah sumber pendapatan, serta mempertingkatkan kualiti
hidup rakyat secara komprehensif.

“Saya difahamkan bahawa terdapat 17 buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang beroperasi di seluruh negeri ini,” titah Baginda.

Baginda bertitah pusat-pusat ini memainkan peranan penting sebagai hab rujukan komuniti setempat, menyediakan akses kepada
pelbagai bentuk latihan, maklumat dan bimbingan secara menyeluruh.

Baginda menyarankan agar seluruh umat Perlis mengoptimumkan
penggunaan kemudahan ini demi kemajuan diri, keluarga dan komuniti.

“Marilah kita bersama-sama memanfaatkan peluang yang
tersedia ini untuk membina masyarakat yang lebih celik digital, berdaya saing dan progresif,” titah Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *