

Oleh: Sholina Osman
20 OGOS 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dalam usaha memperkukuh kesinambungan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat universiti.
Kenyataan media Pusat Komunikasi Korporat UniMAP memaklumkan dengan inisiatif menerusi Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) adalah bagi melancarkan “Twin Pathway Programme”.
“Pelajar yang menamatkan Diploma selama tiga tahun di PERDA-TECH akan berpeluang meneruskan pengajian Sarjana Muda di UniMAP dalam tempoh yang singkat,” kata kenyataan itu lagi.
PROGRAM SARJANA MUDA
Ia melibatkan Program Diploma Teknologi Kejuruteraan Reka Bentuk Produk Perda Tech dan Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk Produk) di mana berpeluang melanjutkan pengajian di universiti itu dalam tempoh dua tahun setengah atau lima semester, termasuk enam bulan latihan industri berstruktur.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, berkata kerjasama strategik ini bukan sahaja membuka peluang baharu kepada pelajar TVET, malah akan memperkukuh ekosistem bakat negara melalui penawaran laluan pengajian yang lebih efisien.
“Kerjasama UniMAP–PERDA-TECH memantapkan ekosistem bakat negara: laluan fast track, kurikulum yang disejajarkan dengan industri, dan pengalaman kerja yang autentik,” kata beliau.
“Kami percaya ini akan melahirkan jurutera teknologi reka bentuk produk yang bukan sahaja kompeten, tetapi tangkas serta berinovasi,” tambah beliau.
MEMPERCEPAT KEMAJUAN AKADEMIK
Beliau berkata usaha ini dilihat mampu mempercepat kemajuan akademik tanpa mengurangkan keluasan kompetensi teras dalam bidang reka bentuk produk.
Terdahulu majlis menandatangani perjanjian berkenaan diadakan di Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP, di Pauh Putra, semalam (19 Ogos).
Turut hadir Pengerusi PERDA Datuk Wira Ir Dr Shaik Hussein Mydin, Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum @ Harun, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Mohd Shukry Abdul Majid, Dekan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal (FKTM) Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar dan Pengarah PERDA-TECH Rohaimi Othman.
LALUAN YANG JELAS
Sementara itu, Mohd Asri berkata PERDA-TECH komited menyediakan laluan yang jelas daripada TVET ke universiti sebagai usaha mempercepatkan mobiliti bakat serantau.
“Melalui “Twin Pathway Programme” ini kami berharap dapat memperkukuh rantaian bekalan tenaga mahir dalam sektor pembuatan dan reka bentuk, sekali gus memastikan pelajar kami mendapat peluang pengajian dan kerjaya yang lebih luas,” tambah beliau.
“Kerjasama ini turut membuktikan kesungguhan PERDA-TECH untuk memperkukuh hubungan strategik dengan universiti awam dalam membina keupayaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan industri negara,” kata beliau.
PELBAGAI BENTUK KOLABORASI
MoU tersebut juga merangkumi pelbagai bentuk kolaborasi termasuk promosi akademik, penempatan latihan industri, serta penganjuran program latihan dan pembangunan modal insan.
Kedua-dua pihak akan memuktamadkan garis panduan pemindahan kredit, syarat kemasukan serta penyelarasan kurikulum bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
Dengan termeterainya MoU ini, UniMAP dan PERDA-TECH menzahirkan komitmen bersama dalam mempercepat penghasilan graduan “work-ready” dalam bidang reka bentuk produk, sejajar dengan usaha memperkukuh kesinambungan laluan TVET ke Ijazah demi kelestarian pembangunan bakat muda negara. – JM
