PATRIOTISME DIPERKUKUH, KDN TEGUH BERSAMA MALAYSIA MADANI : SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN & HARI MALAYSIA PERINGKAT KDN 2025

PUTRAJAYA, 20 OGOS 2025 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2025 Peringkat Kementerian Dalam Negeri yang digabungkan bersama Perhimpunan Bulanan KDN bagi bulan Ogos 2025 di Dewan Gemilang, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri, serta dihadiri oleh YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Hadir sama ialah YBhg. KJP Dato’ Haji Abdul Aziz bin Abdul Razak, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, bersama barisan kepimpinan tertinggi KDN termasuk YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha KDN.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Perkhidmatan Awam, bacaan doa serta ikrar Rukun Negara.

Antara pengisian utama ialah:

  • Tayangan lagu tema rasmi Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2025 bertajuk “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”
  • ⁠ Tayangan video montaj KDN & evolusi kad pengenalan
  • ⁠Penyampaian sijil penghargaan kepada Operatif Unit Tindakhas – Pertandingan Sharp Blade International Sniper Competition
  • ⁠Pelancaran Portal Baharu KDN 2025

Turut disampaikan ialah ucapan alu-aluan oleh Ketua Setiausaha KDN, diikuti ucapan penuh semangat patriotisme daripada YB Menteri Dalam Negeri.

Dalam ucapannya, YB Menteri Dalam Negeri menekankan erti kemerdekaan bukan sekadar memperingati sejarah perjuangan, tetapi menuntut iltizam seluruh warga KDN untuk terus menjaga keamanan, keselamatan dalam negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Kemerdekaan adalah amanah yang perlu kita pelihara bersama. Warga KDN adalah benteng hadapan dalam memastikan keamanan negara sentiasa terjamin. Dengan semangat Malaysia MADANI, kita akan terus memperkukuh integriti, profesionalisme dan dedikasi dalam berkhidmat untuk rakyat dan negara.” – YB. Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.

Sambutan ini bukan sahaja menyemarakkan kecintaan kepada negara, malah menjadi wadah memperkukuh tekad warga KDN untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi Malaysia MADANI.

Turut hadir, YBhg. TKJP Dato’ Ibrisam bin Abdul Rahman, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional), YBrs. TKJP Hafidz bin Othman, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan), Pengarah-pengarah Bahagian IPPM dan Pegawai-pegawai Jabatan Penjara Malaysia.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *