Teknologi AI, pengkomputeran awan perlu ditangani dengan lensa keselamatan – PMX

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
22 OGOS 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan untuk teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan ditangani menerusi lensa keselamatan.

Beliau berkata ini kerana negara tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing.

“Kita perlu membina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan berdaulat bagi melindungi maklumat terperingkat dan aset strategik negara,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini (21 Ogos).

MEMPERKUKUH BENTENG SIBER

Justeru, kata beliau Kerajaan akan terus memperkukuh benteng siber negara dengan melindungi infrastruktur kritikal, meningkatkan kesedaran awam serta mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan rakan antarabangsa.

“Dari segi perundangan, Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini,” tambah beliau.

Pada masa sama, kata Anwar setiap individu juga harus memainkan peranan dalam melindungi data peribadi apabila berurusan dalam talian.

Beliau menambah antaranya menerusi penggunaan MyDigital ID, yang pendaftarannya kini mencatat purata 25,000 pengguna sehari hasil integrasi dengan aplikasi seperti MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM dan MyGOV.

Jelas beliau komitmen Malaysia turut dizahirkan di peringkat global.

KITA AKAN MENANDATANGANI

“Dalam masa terdekat, kita akan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai jenayah siber di Hanoi, Vietnam, sebagai bukti kesungguhan memperkukuh kerjasama antarabangsa menentang jenayah digital,” tambah beliau.

Anwar berkata mesyuarat juga menegaskan kepentingan pembangunan teknologi kriptografi pasca-kuantum (PQC) bersama NACSA, penyelidik dan industri.

Jelas beliau usaha ini diyakini akan memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal, membendung jenayah siber, dan memastikan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat terus terjamin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *