Gempa bumi lemah: Dua kolej komuniti di Segamat diberi pelepasan PdP, BDR

Oleh: Sholina Osman
25 OGOS 2025

Kolej Komuniti Segamat (KKS) dan Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2) diberi pelepasan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula 25-27 Ogos 2025 sebagai langkah keselamatan awal warganya.

Kenyataan media Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) hari ini (25 Ogos) memaklumkan ia susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 km yang telah berlaku di Segamat, Johor pada jam 6.13 pagi, 24 Ogos 2025 (Ahad).

KKS dan KKS2 yang merupakan institusi di bawah seliaan JPPKK turut tidak terkecuali daripada menerima impak susulan daripada kejadian tersebut.

HASIL PEMERIKSAAN AWAL

Kenyataan itu menyebut hasil pemeriksaan awal yang telah dijalankan oleh pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Segamat di KKS mendapati, terdapat
keretakan kecil pada dinding bangunan dan beberapa ruang bahagian dalam.

Namun demikian, ianya tidak melibatkan kerosakan pada struktur dan bahagian rasuk struktur bangunan.

Berikutan itu siasatan forensik bangunan akan dilaksanakan dengan lebih terperinci dalam masa yang terdekat dengan melibatkan daripada pihak JKR daerah Johor Bahru.

DUA BLOK ASRAMA

Sementara itu KKS2 turut dikunjungi oleh JKR daerah Segamat bagi menjalankan pemeriksaan bangunan terutama di dua blok asrama yang menempatkan lebih kurang 200 orang pelajar.

KKS2 turut diberi pelepasan untuk menjalankan sesi PdP bagi tempoh sama.

Pelajar telah diarahkan pulang bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pemeriksaan bangunan dengan lebih lanjut, namun demikian operasi
pejabat akan berjalan seperti biasa.

Pihak Jabatan akan terus memantau rapat keadaan ini bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kelancaran operasi institusi terus terjamin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *