Fahmi tinjau pelaksanaan projek Wi-Fi IPTA di Politeknik Seberang Seberang Perai

Wartawan JM
16 SEPT. 2025

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meninjau pelaksanaan projek Wi-Fi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Politeknik Seberang Seberang Perai yang telah siap dan mula beroperasi pada 14 Julai 2025 lalu.

Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan bahawa projek di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini dilaksanakan bagi memperkukuh capaian Internet berkelajuan tinggi di kampus IPTA seluruh negara.

Penyediaan kemudahan rangkaian yang lebih stabil dan menyeluruh untuk kegunaan pelajar serta warga IPTA ini sejajar dengan usaha Kerajaan MADANI ke arah memperluas ketercapaian digital kepada semua lapisan masyarakat.

MAKLUM BALAS POSITIF

Pihak pengurusan Politeknik Seberang Perai memberikan maklum balas positif terhadap keberkesanan capaian yang membantu meningkatkan pengalaman pembelajaran digital, operasi pentadbiran serta aktiviti penyelidikan.

MCMC akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan tahap kualiti perkhidmatan yang disediakan menepati keperluan semasa dan memberikan impak maksimum kepada warga kampus.

Selain itu, Fahmi turut meluangkan masa beramah mesra bersama 70 orang pelajar politeknik yang menyertai Kempen Internet Selamat (KIS), termasuk peserta yang hadir secara dalam talian.

Modul yang dibangunkan ini bertujuan memperkasa golongan belia dalam aspek keselamatan siber dan literasi digital dengan tumpuan kepada empat isu utama yang memberi impak besar kepada kehidupan belia, iaitu penipuan dalam talian, buli siber, risiko perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan, serta penyebaran maklumat palsu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *