MCMC pastikan mangsa bencana di Sabah kekal terhubung dengan kemudahan MCMC PRIME, NADI

Oleh: Sholina Osman
15 SEPT. 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha memastikan mangsa bencana di Sabah kekal terhubung melalui penyediaan kemudahan komunikasi kecemasan
MCMC PRIME dan perkhidmatan Internet komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan bahawa MCMC PRIME, iaitu kenderaan mudah alih dilengkapi sokongan komunikasi, telah digerakkan ke Kampung Cendrakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pada masa yang sama, sebanyak 131 NADI turut diaktifkan untuk menyediakan capaian Internet kepada masyarakat yang terkesan, agar mereka kekal berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa.

Sehingga kini, sejumlah 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan bekalan elektrik.

KERJA-KERJA PEMULIHAN

Daripada jumlah tersebut, lebih separuh (147 menara) telah kembali beroperasi, dengan kerja-kerja pemulihan giat dilaksanakan secara berperingkat bersama syarikat telekomunikasi.

Selain itu, MCMC turut menubuhkan Task Force bersama syarikat telekomunikasi dan SESB bagi memantau keadaan semasa di tapak-tapak terkesan.

Mesyuarat berkala ini memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan collector sites (tapak utama yang mengawal liputan komunikasi di kawasan sekitarnya) dan tapak kritikal yang dikenal pasti sebagai sasaran penting.

Di samping memastikan penyaluran bekalan kuasa sementara melalui genset, agar proses pemulihan
komunikasi dapat dipercepatkan.

MCMC akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat
telekomunikasi, serta pihak berkuasa negeri dan persekutuan untuk memastikan komunikasi dan capaian Internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *