Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin, setiap bangsa yang dambakan keamanan – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
16 SEPT. 2025

Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin, dan setiap bangsa yang dambakan keadilan serta keamanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak.

“Semoga Allah SWT mengurniakan keberanian untuk kita melawan kezaliman, serta kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan maruah umat,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Anwar mengucapkan syukur dapat membawa suara Malaysia dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam, di Doha, Qatar.

MENGECAM SEKERAS-KERASNYA

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha,” kata beliau.

Beliau berkata ia bukan sahaja satu pencabulan kedaulatan Qatar, malah satu tindakan rakus dan biadab yang melanggar tatanan undang-undang antarabangsa, serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keselamatan rantau.

“Qatar, di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, telah memainkan peranan besar sebagai perantara perdamaian,” jelas Perdana Menteri.

MEROBEK USAHA MULIA

Beliau berkata menyerang Doha bererti merobek usaha mulia tersebut, dan ia mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua, seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan.

Dalam masa sama, kata beliau Gaza terus ditenggelami darah dan runtuhan.

Kediaman dimusnahkan, hospital dibedil, anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa korban.

SATU BENTUK APARTHEID

Beliau menambah Israel kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan satu bentuk apartheid kekal, serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri.

Jelas Anwar kecaman semata-mata tidak lagi memadai. Kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket dan peluru berpandu.

“Dunia mesti bertindak dengan langkah yang nyata dan berani termasuk menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis Israel sehingga kekejaman dihentikan dan hak Palestin dipulihkan,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *