Raja Muda rasmi Produk Masakan Tradisional Kurma Perlis, warisan kulinari

Oleh: Sholina Osman
11 OKT. 2025

Produk Masakan Tradisional Kurma Perlis mencipta detik bersejarah dengan pelancaran dua hidangan utama istimewa Kurma Daging Perlis dan Kurma Ayam Perlis menerusi Syarikat RG Food Industries Sdn. Bhd. (RGFI) yang menjadi lambang keaslian serta keunggulan cita rasa warisan kulinari negeri di utara tanah air itu.

Kedua-dua hidangan ini bukan sekadar juadah, tetapi manifestasi seni masakan tradisional Perlis yang diwarisi turun-temurun.

Ia dirumus daripada adunan rempah asli dan diolah semula dengan sentuhan inovasi moden, resipi ini dihasilkan bagi menepati cita rasa pengguna masa kini tanpa menjejaskan keaslian dan keharuman rempahnya yang unik.

Majlis pelancaran rasmi Produk Masakan Tradisional Kurma Perlis telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

PROMOSI MAKANAN AITENTIK

Inisiatif berimpak tinggi ini merupakan cetusan Tuanku Syed Faizuddin Putra sendiri, yang berhasrat memperkenalkan serta memperkukuh promosi masakan autentik dan produk tempatan Negeri Perlis khususnya melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) agar terus gah dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis pelancaran tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Perlis dan RG Food Industries Sdn. Bhd. (RGFI), dengan kehadiran Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif RGFI, Datuk Mohd Radzuan Abdullah, serta Pengarah La Changgung Marketing, Sulia Awang.

BEBERAPA PRODUK ISTIMEWA

Selain memperkenalkan Kurma Daging Perlis dan Kurma Ayam Perlis sebagai produk utama, RGFI turut menampilkan beberapa produk istimewa lain hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan, antaranya Gulai Daging Rebung Utara, Pekasam Timah Tasoh Perlis, dan Belacan Madu Kuala Perlis.

Sebagai peneraju dalam penghasilan produk makanan Ready to Cook (RTC) dan Ready to Eat (RTE), RGFI menggunakan teknologi Thermal Decontamination System (TDS) yang memastikan setiap produk mengekalkan rasa asli, kesegaran, dan kualiti premium seperti masakan tradisional sebenar.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa warisan gastronomi Negeri Perlis, malah menjadi platform strategik dalam memperluas promosi budaya, identiti, dan keistimewaan negeri berkenaan ke persada yang lebih luas. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *