Runding dengan Thailand sokong lanjut operasi Kompleks ICQS Padang Besar – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
21 OKT. 2025

Lebih banyak rundingan dengan pihak Pejabat Gabenor Wilayah Songkhla, Datuk Bandar Daerah Sadao serta Pegawai di Sub-Daerah Padang Besar Thailand untuk sama-sama menyokong cadangan pelanjutan waktu pengoperasian Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar kedua-dua belah negara dari ditutup pukul 10 malam ke pukul 12 malam waktu Malaysia.

Inisiatif ini hendaklah dirancang secara teliti dan komprehensif sebagai persediaan jangka masa sederhana dan panjang untuk mempergiatkan aktiviti supaya mampu menguntungkan serta memanfaatkan kedua-dua belah pihak tanpa sebarang kompromi perihal keselamatan dan undang-undang negara.

Ia juga diharap dapat membantu usaha menyuraikan kesesakan trafik yang berlaku khususnya semasa cuti hujung minggu, perayaan dan musim cuti persekolahan, selain sebagai langkah memperkasakan aktiviti ekonomi mahupun pelancongan terutamanya di kawasan sempadan tersebut.

PROMOSI MASAKAN PERLIS

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan siri Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Cafe Resort fifty4ferns by MK54 bertempat di Janda Baik, Bentong, Pahang baru-baru ini sempena keberangkatan Baginda ke resort berkenaan untuk menghadiri ‘Janda Baik Trail 2.0 : Nature Getaway’.

Keberangkatan tiba Baginda di sambut oleh pemilik fifty4ferns by MK54 iaitu Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Berangkat sama ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

SIMBOL WARISAN KULINARI

Usaha untuk memperluaskan lagi simbol warisan kulinari negeri Perlis berupa Kurma Daging Perlis terus dipergiatkan apabila menu tersebut dilancarkan dalam program tersebut.

Kurma Daging Perlis merupakan identiti masakan warisan negeri Perlis di mana usaha untuk memperkenalkan hidangan tradisi Perlis ini hingga ke peringkat nasional dan antarabangsa sebagai simbol warisan kulinari negeri, adalah hasil kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama resort berkenaan.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan mengurniakan buku ‘Perlis Food Promotion’ yang merupakan koleksi kembara dan usaha Baginda melancarkan dan mempromosi masakan Kurma Daging Perlis ke pelbagai restoran dan hotel di dalam dan luar negara.

Para hadirin mengenakan pakaian bertemakan ‘Getaran Jiwa’ ke majlis tersebut. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *