







Oleh: Sholina Osman
5 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pendidik dan pelajar perlu berani meneroka ruang digital untuk menzahirkan idea serta imaginasi ke arah penyelesaian masalah sebenar masyarakat.
Titah Baginda dalam era yang kian berteraskan teknologi, pendidikan tidak lagi terbatas kepada helaian buku teks semata-mata.
Baginda bertitah usaha murni seperti ini wajar diteruskan dan diperluas agar setiap umat Perlis mampu menjadi peneraju inovasi dan pencetus perubahan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyeru semua peserta, guru, serta komuniti pendidikan untuk terus mengambil peluang ini sebagai medan pembelajaran, perkongsian, dan kolaborasi berterusan.
BUKAN SEKADAR ALAT
“Jadikan teknologi bukan sekadar alat, tetapi wahana yang membentuk pemikiran lebih progresif, kreatif, serta berakhlak tinggi demi masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing,” titah Baginda.
Raja Muda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Prints and Pixels Expo Perlis (PRiPEx) 2025 di Dewan 2020 Kangar.
Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin serta warga pendidikan negeri.
Penganjuran Prints and Pixels Expo Perlis (PRiPEx) 2025, yang berlangsung dari 3 hingga 6 November 2025, merupakan platform pameran interaktif yang menghimpunkan hasil karya bercetak dan digital daripada pelbagai institusi pendidikan.
PEMBELAJARAN BERASASKAN INOVASI
Ia bertujuan menggalakkan pembelajaran berasaskan inovasi serta memperkasa bakat kreatif dalam kalangan pelajar dan pendidik di negeri Perlis.
Bertemakan “Digital. Discover. Dream.”, ekspo ini meraikan keunikan serta kepelbagaian dunia cetakan (prints) dan media digital (pixels) yang kian memainkan peranan penting dalam era teknologi masa kini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis serta menyaksikan upacara penyerahan Letter of Intent (LOI) oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis kepada wakil Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai simbolik kerjasama strategik dalam memperkukuh pendidikan digital dan inovasi kreatif di negeri ini.
CETAKAN DAN DIGITAL
Antara pengisian menarik yang diadakan termasuk pameran hasil karya cetakan dan digital oleh pelajar serta profesional tempatan, bengkel interaktif dan demonstrasi teknologi, pertandingan reka grafik serta fotografi digital, dan sesi perkongsian ilmu bersama tokoh industri dan tenaga pakar.
Penganjuran PRiPEx 2025 bukan sahaja berperanan memperkasa bakat tempatan dalam bidang seni reka dan teknologi digital, malah membuka ruang kolaborasi antara institusi pendidikan, industri, serta masyarakat umum dalam memperkukuh ekosistem kreatif negeri Perlis.
Dengan gabungan elemen tradisional dan moden, PRiPEx 2025 diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus berfikir secara kreatif, berimpian besar dan meneroka dunia digital dengan nilai-nilai positif demi masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing. – JM
