




KUANTAN, 5 November – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menghadiri Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) anjuran Kuantan Port Consortium Sdn. Bhd., di Dewan Latihan Kuantan Port.
Majlis dimulai dengan sesi ceramah integriti dan antirasuah khususnya penekanan Kesalahan Jenayah Utama di bawah Akta SPRM 2009 di dalam organisasi komersial yang melibatkan industri perlabuhan. Sesi ini disampaikan oleh PsK Zainab binti Abdul Malik, Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.
Seterusnya diadakan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Operasi Kuantan Port, Chan Weng Yew, disaksikan oleh PKPj Westmoreland Anak Ajom, Ketua Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dengan diiringi 130 pegawai Kuantan Port yang terdiri daripada pelbagai bahagian.
Penganjuran program ini adalah cerminan iltizam dan tekad Kuantan Port untuk menjadikan integriti sebagai asas utama dalam semua aspek pengurusan dan operasi. Ia juga simbol komitmen tinggi terhadap prinsip tadbir urus yang bersih, telus dan berintegriti.
Kuantan Port adalah sebuah pelabuhan yang dilengkapi perkhidmatan bertaraf tertinggi serta mempunyai jangkauan pasaran yang luas dan rangkaian penghantaran global yang kukuh bagi memacu pengembangan pesat aktiviti perindustrian dan pembuatan di Koridor Perindustrian Pantai Timur yang dinamik.
