







Oleh: Sholina Osman
18 DIS. 2025
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus berfungsi untuk semua pekerja Malaysia tanpa mengira kaum, latar belakang
atau sektor pekerjaan, berteraskan prinsip keadilan, inklusiviti dan pelaksanaan yang berkesan.
Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata kerjasama semua pihak, KESUMA akan terus memperkukuh sistem pekerjaan negara agar lebih berdaya tahan, mampan dan berpaksikan kebajikan pekerja.
Ramanan hari ini secara rasmi telah melapor diri di KESUMA selepas mengangkat sumpah jawatan pada 17 Disember 2025.
Beliau juga memulakan tugas dengan
mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi KESUMA dan menerima taklimat menyeluruh mengenai peranan, struktur serta keutamaan KESUMA bagi memastikan
kesinambungan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
KEPERCAYAAN DAN AMANAH
Dalam sidang media yang berlangsung di Menara PERKESO, Putrajaya, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan dan amanah yang diberikan untuk menerajui kementerian ini.
Ramanan juga menyatakan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia terdahulu atas usaha dan inisiatif penting yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatan sebelum ini.
“KESUMA telah mencatatkan pelbagai pencapaian signifikan dalam tempoh tiga tahun lalu hasil kesinambungan dasar yang konsisten dan berfokus kepada kebajikan pekerja serta daya saing ekonomi negara,” kata beliau dalam kenyataan media.
Antaranya termasuk peningkatan gaji bulanan median negara yang melepasi paras RM3,000 buat
pertama kali, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang memanfaatkan lebih 32,000 pekerja dengan kenaikan gaji median sehingga 16 peratus, serta kadar pengangguran terendah dalam tempoh 10 tahun.
BUAT PERTAMA KALI
Selain itu, pindaan Ordinan Buruh
Sabah dan Sarawak yang dilaksanakan buat pertama kali dalam lebih dua dekad telah memastikan hak pekerja yang lebih saksama di seluruh negara.
Peningkatan perlindungan sosial turut diperkukuh melalui PERKESO, termasuk pengenalan bersejarah Skim Lindung 24 Jam susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] selepas lebih 50 tahun.
Kerajaan juga telah menggubal Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.2 juta pekerja gig, di samping memperkasa ekosistem TVET melalui pindaan Akta Pembangunan Kemahiran
Kebangsaan [Akta 652] dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran [Akta 640], termasuk pengenalan Sijil Kemahiran Modular Malaysia dan Sijil Pakar Nasional.
PERANCANGAN STRATEGIK UTAMA
Bagi meneruskan agenda reformasi menyeluruh, KESUMA akan memberi tumpuan kepada beberapa perancangan strategik utama dalam tempoh dua tahun akan
datang.
Ini termasuk reformasi undang-undang buruh secara berterusan,
penggubalan Dasar Sumber Manusia Negara 2026–2035 sebagai dokumen induk hala tuju jangka panjang tenaga kerja negara, serta penubuhan Majlis Perundingan
Gig dan Tribunal Gig sebagai mekanisme tadbir urus dan penyelesaian pertikaian yang lebih adil dan berkesan.
Usaha memperkukuh pematuhan standard buruh antarabangsa akan diteruskan melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa 2.0 (2026–2030), di samping pengenalan mekanisme levi berperingkat bagi memastikan pembiayaan latihan yang lebih adil dan mampan.
PENYUSUNAN SEMULA FUNGSI
Kementerian juga akan melaksanakan
penyusunan semula fungsi penguatkuasaan melibatkan jabatan-jabatan berkaitan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Inisiatif lain merangkumi penubuhan Akademi KESUMA sebagai pusat
pembangunan kapasiti warga kementerian, pemerkasaan perlindungan sosial melalui peluasan liputan PERKESO termasuk pekerja tidak formal dan bekerja sendiri, serta penubuhan Mobile Labour Court bagi memperluas akses keadilan
perburuhan khususnya di kawasan luar bandar dan sektor berisiko tinggi
Menteri Sumber Manusia menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan kebajikan pekerja sentiasa menjadi keutamaan merangkumi aspek perlindungan,
keselamatan, peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran. – JM
