





PUTRAJAYA, 18 Disember 2025 β Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO) telah mengadakan sesi konsultasi bersama dengan pihak Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur berhubung dengan 2025 U.S. Trafficking in Persons Report (USTIP Report).
Sesi ini telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Dr. Azalia binti Mohamed, Setiausaha Bahagian NSO MAPO. Sesi konsultasi tersebut turut dihadiri oleh pegawai daripada Bahagian Antarabangsa, KDN dan wakil-wakil Kementerian serta agensi di bawah Jawatankuasa MAPO, iaitu Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Komunikasi (KK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK Sabah), Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Pihak Kedutaan Besar Amerika Syarikat telah diwakili oleh Encik Christopher Carver, (Political Counselor) dan Puan Allison Chen (Political Officer). Sesi konsultasi ini berobjektif untuk membincangkan dapatan dan penilaian dalam 2025 USTIP Report tentang Malaysia, termasuk 15 perkara penambahbaikan yang telah disenaraikan dalam laporan tersebut. Sesi ini turut bertujuan untuk menyediakan pelantar perbincangan dua hala antara pihak kerajaan dengan pihak Kedutaan Besar Amerika Syarikat bagi memperjelas inti pati laporan, berkongsi pandangan serta memperincikan langkah-langkah pelaksanaan yang bersesuaian dalam usaha pembanterasan jenayah pemerdagangan orang secara menyeluruh dan berkesan.
Secara keseluruhannya, sesi konsultasi ini telah memberikan kefahaman yang jelas dan menyeluruh kepada Malaysia berhubung dengan keperluan dan keutamaan yang digariskan dalam 2025 USTIP Report. Penjelasan yang diberikan oleh pihak Kedutaan Besar Amerika Syarikat telah membantu perincian hala tuju penambahbaikan yang boleh dilaksanakan secara berfasa dan strategik, selaras dengan komitmen berterusan Malaysia bagi memperkukuh tadbir urus dan usaha untuk memerangi jenayah pemerdagangan orang pada peringkat nasional dan antarabangsa, serta dalam masa yang sama menambah baik kedudukan Malaysia dalam penarafan USTIP Report yang akan datang.
