



Oleh: Sholina Osman
22 DIS. 2025
Ilmu adalah asas penting bagi kemajuan dan kemakmuran sesebuah negeri. Masyarakat berilmu bukan hanya tahu, tetapi memahami tanggungjawab sosial.
Budaya berfikir, berdialog dan berkongsi ilmu hendaklah sentiasa disemarakkan agar Perlis terus berkembang sebagai negeri ilmu yang melahirkan umat beradab dan berwawasan.
Satukan pemikiran dalam semangat perpaduan. Dalam kepelbagaian pandangan, lahir kematangan, dan kemajuan masyarakat.
ILMU TIDAK TERBATAS
Raikan perbezaan di mana ilmu tidak terbatas oleh pangkat, bangsa atau ideologi, sebaliknya menghubungkan semua melalui nilai keikhlasan, saling menghormati dan kasih sayang sesama insan. Inilah asas untuk membina umat yang bersatu, inklusif dan berwawasan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menerima kunjungan mengadap Presiden Alif Society dari negara Mauritius, Dawood Auleear di Kangar baru-baru ini.
Hadir sama ke sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
SEBUAH BADAN AMAL
Untuk rekod, Alif Society yang merupakan sebuah badan amal pernah menghantar beberapa orang pelajar cemerlangnya untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebelum ini.
Alif Society Mauritius juga menjalin kerjasama strategik dengan MAIPs bagi meneroka dan memperkukuh inisiatif pembangunan sosial serta bantuan kemasyarakatan yang berimpak tinggi dan mampan.
Sebelum ini, Alif Society telah membantu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam menjayakan International Conference on Tajdid dengan kerjasama Awqaf South Africa, melibatkan penyertaan International Peace College South Africa (IPSA), Medina Institute, Islamia College serta Majlis Agama Islam Afrika Selatan (MJC), yang menghimpunkan para ilmuan, sarjana dan penggerak organisasi umat Islam serantau. – JM
