CSI 2025: Peluang Kedua Membina Kehidupan Baharu

30 Disember 2025

Pendekatan pemulihan prospek yang lebih menyeluruh, berperikemanusiaan dan berorientasikan masa depan terus diperkukuh melalui pelaksanaan Program Corporate Smart Internship (CSI) oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Program ini membuktikan bahawa pemulihan bukan sekadar penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya satu usaha membina semula kehidupan melalui peluang kedua, kemahiran dan kebolehpasaran agar prospek dapat kembali menyumbang secara produktif kepada masyarakat dan negara.

Sehingga 15 Disember 2025, pelaksanaan CSI telah melibatkan 735 majikan merangkumi sektor pembuatan, perladangan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian. Sebanyak 9,425 peluang pekerjaan telah ditawarkan, dengan 6,165 prospek berjaya ditempatkan bersamaan 65.41% kadar penempatan, manakala keseluruhan 14,612 prospek telah ditawarkan peluang pekerjaan sepanjang tahun 2025.

Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan pembangunan insan, di samping menyokong keperluan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan berdaya saing.

“Pemulihan bukan sekadar menghukum, tetapi membina semula kehidupan. Memberi peluang kedua melalui latihan dan pekerjaan adalah kunci untuk memastikan bekas prospek dapat kembali ke masyarakat sebagai individu yang produktif dan berdaya saing.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri

KDN merakamkan penghargaan kepada semua majikan dan rakan industri yang tampil memberi peluang kedua kepada prospek. Sokongan berterusan daripada sektor industri dan komuniti amat penting bagi memastikan usaha pemulihan ini memberi impak jangka panjang demi keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Sumber: Jabatan Penjara Malaysia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *