FKTE UniMAP kerjasama dengan SK Tunjang, Kedah laksana STI 100³ MOSTI 

Oleh: Sholina Osman
4 FEB. 2026

Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektrik (FKTE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Tunjang, Kedah bagi pelaksanaan Program STI 100³ anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Usaha ini sebagaj pendedahan awal terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di peringkat sekolah rendah lagi bagi melahirkan generasi celik teknologi masa hadapan.

Penyelaras program, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Ahmad Zaidi berkata program yang dikendalikan oleh tenaga pengajar daripada FKTE itu telah berlangsung sebanyak tiga siri pelaksanaan di sekolah berkenaan dan memberi manfaat kepada seramai 247 pelajar Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6.
 
Katanya, program itu bertujuan memberi pendedahan awal berkaitan bidang STI serta meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran interaktif dan praktikal.

PENGENALAN TEKNOLOGI TENAGA
 
“Program ini memberi fokus kepada pengenalan teknologi tenaga boleh baharu khususnya tenaga solar yang semakin penting dalam pembangunan teknologi masa kini.
 
Beliau berkata pelajar bukan sahaja didedahkan kepada konsep asas sains dan teknologi, malah mereka berpeluang menjalankan aktiviti “hands on” menggunakan kit solar.

“Pendekatan ini membantu pelajar memahami aplikasi sebenar teknologi dalam kehidupan harian,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
 
Sepanjang program itu berlangsung, pelajar turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah interaktif, demonstrasi teknologi serta aktiviti berkumpulan yang mampu merangsang pemikiran kreatif dan kemahiran menyelesaikan masalah.

SEBAGAI NILAI TAMBAH
 
Tambah beliau, sebagai nilai tambah kepada komuniti sekolah, di penghujung program, tiga unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) berkuasa solar telah dipasang di beberapa lokasi strategik sekitar kawasan sekolah.
 
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan aplikasi teknologi tenaga hijau secara praktikal, malah membantu meningkatkan tahap keselamatan persekitaran sekolah.
 
“Pihak sekolah menyambut baik program seperti ini untuk diteruskan pada masa akan datang dalam usaha melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif serta mampu menyokong agenda pembangunan mampan negara,” katanya.
 
Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang pelaksanaan program pendidikan, pemindahan teknologi serta pembangunan projek inovasi pada masa hadapan.
 
Majlis penutup program turut menyaksikan pemeteraian jalinan kerjasama strategik antara FKTE dan pihak SK Tunjang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *