π—œπ—‘π—¦π—£π—˜π—žπ—§π—’π—₯𝗔𝗧 π—π—œπ—  π—£π—˜π—₯π—žπ—¨π—žπ—¨π—› π—£π—˜π— π—”π—‘π—§π—”π—¨π—”π—‘ π—ͺ𝗔π—₯π—šπ—” π—”π—¦π—œπ—‘π—š π——π—œ π—žπ—”π—ͺ𝗔𝗦𝗔𝗑 𝗧𝗨𝗠𝗣𝗨𝗔𝗑 π—˜π—žπ—’π—‘π—’π— π—œ

KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melaksanakan inspektorat penguatkuasaan berskala khas di sekitar Jalan Silang, Kuala Lumpur sebagai langkah pemantauan lapangan terhadap status keberadaan warga asing di lokasi yang sering menjadi tumpuan aktiviti ekonomi dan sosial.

Dalam inspektorat tersebut, seramai 1,424 individu telah diperiksa melibatkan warganegara Bangladesh, Nepal, India, Myanmar, China, Filipina, Pakistan, Indonesia serta beberapa negara lain.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki pas dan dokumen perjalanan yang sah serta masih berkuat kuasa untuk berada di negara ini. Walaupun tiada tangkapan dibuat dalam siri pemeriksaan kali ini, pemeriksaan secara teliti tetap dilaksanakan bagi memastikan tiada penyalahgunaan pas atau pelanggaran syarat permit yang ditetapkan.

Pelaksanaan inspektorat ini bukan sekadar operasi rutin, sebaliknya merupakan pendekatan pemantauan berterusan bagi menilai keberkesanan tindakan penguatkuasaan dalam menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) secara proaktif.

JIM akan terus melaksanakan inspektorat penguatkuasaan secara berkala dan konsisten di seluruh negara. Usaha ini turut menumpukan kepada pengukuhan sistem pemantauan, pemeriksaan serta pelaporan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa dipelihara oleh majikan dan pekerja asing.

Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Imigresen Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus penguatkuasaan yang berintegriti, telus dan berkesan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, demi menjamin ketenteraman awam serta kesejahteraan negara.

Operasi inspektorat ini telah digerakkan oleh 52 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM. Turut sama dalam operasi, YBhg. Dato’ Lokman Effendi Ramli, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) dan Tuan Haji Basri Othman, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *