



RAMBUNGAN, 10 APRIL 2026 – YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Penternakan Udang oleh Pertubuhan peladang Negeri Sarawak di Loba Stoh, Rambungan, Lundu.
Projek ini dibangunkan di dalam Zon Industri Akuakultur (ZIA) seluas 286 hektar, dengan tanah dimiliki oleh Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS). Projek ini diusahakan oleh anak syarikat PPNS, yang juga berperanan sebagai syarikat peneraju dalam membeli hasil udang daripada penternak-penternak kecil di sekitar kawasan ini.
Melalui Program Pemerkasaan Agromakanan Negara, Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM2.9 juta bagi menaik taraf kolam serta memperkenalkan teknologi moden termasuk sistem pemantauan dan pengurusan data. Peruntukan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu memastikan hasil udang yang lebih konsisten serta kawalan penyakit yang lebih berkesan.
PEMANTAUAN LADANG
Sebagai projek pembangunan akuakultur moden, inisiatif ini memberi penekanan kuat kepada penggunaan RAS, smart farming dan kaedah penternakan baharu bagi memastikan pengeluaran udang yang lebih mampan, konsisten dan berkualiti tinggi.
Penggunaan teknologi ini membolehkan pemantauan ladang dilaksanakan secara lebih cekap dan sistematik, memperkukuh biosekuriti, meningkatkan keberkesanan rawatan air, mengurangkan risiko penyakit, serta menambah baik produktiviti ladang secara keseluruhan.
Projek ini juga dijangka menjadi βModel Farmβ kepada penternak-penternak udang di kawasan sekitar dan di luar kawasan, selaras dengan usaha memperkasa industri akuakultur yang moden, mampan dan berdaya maju.
Lawatan ini turut dihadiri oleh YB Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, Menteri Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD); YB Tan Sri William Mawan Ikom, Penasihat Premier Sarawa (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah); YBhg. Dato’ Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) serta pegawai-pegawai kanan KPKM, jabatan dan agensi.
