


MIRI, 9 Mei β Penguasaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan generasi muda menjadi antara keutamaan dalam memastikan Sarawak terus maju dan berdaya saing pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Digital Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, dunia hari ini berubah dengan pantas seiring perkembangan teknologi.
Ia sekali gus menuntut pelajar untuk sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
βTeknologi AI kini boleh membantu menyediakan bahan pembelajaran dengan lebih cepat, membantu pelajar memahami topik yang sukar dengan lebih mudah serta memberi peluang pembelajaran yang lebih interaktif dan efektif.β
Pada masa yang sama, penggunaan teknologi juga dapat membantu mengenal pasti tahap pembelajaran pelajar dengan lebih baik supaya pendekatan pendidikan dapat disesuaikan mengikut kemampuan masing-masing,β jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Dayak Cemerlang 2026 sempena sambutan Gawai Dayak Bahagian Miri, hari ini.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan dunia digital membawa cabaran baharu, seperti penipuan siber, penyebaran maklumat palsu dan ketagihan media sosial yang perlu ditangani dengan bijak, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pendidikan kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki kemahiran digital serta daya saing tinggi.
Pada majlis tersebut, seramai 115 pelajar menerima Anugerah Pelajar Dayak Cemerlang atas pencapaian dalam peperiksaan SPM 2025 dan STPM 2024, dengan jumlah insentif tunai sebanyak RM34,600.
Sumber: RTM Sarawak
