Pemantauan Penyakit Berkaitan Jerebu

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memantau kesan jerebu terhadap kesihatan susulan keadaan kualiti udara di beberapa kawasan negara.

Bacaan IPU Tidak Sihat menunjukkan penurunan kepada 17 stesen, berbanding 31 stesen pada 25 Ogos. Sebanyak 49 stesen berada pada tahap Sederhana dan dua stesen pada tahap Baik, manakala tiada stesen merekodkan tahap Sangat Tidak Sihat atau Berbahaya.

Bagaimanapun, pemantauan KKM mendapati kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (URTI) meningkat 124.4%, daripada 1,637 kepada 3,674 kes. Kes asma turut meningkat 259%, daripada 61 kepada 219 kes.

KKM memperkukuh kesiapsiagaan dan respons kesihatan termasuk pemantauan penyakit, kesiapsiagaan fasiliti, bekalan ubat serta peralatan perubatan.

Orang ramai, khususnya kanak-kanak serta individu yang mempunyai penyakit respiratori kronik dan penyakit jantung, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, mengelakkan aktiviti fizikal lasak dan menggunakan pelitup muka yang sesuai ketika berada di kawasan berjerebu.

KKM akan terus memantau situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan serta menyesuaikan tindakan berdasarkan tahap risiko semasa.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *