
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Digital Nasional Bhd (DNB) dan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjalin kerjasama strategik bagi menyediakan liputan 5G dalam bangunan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQC) Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) di Bukit Chagar, Johor Bahru.
Ketua Pegawai Eksekutif DNB, Datuk Azman Ismail berkata, persediaan turut melibatkan perbincangan dengan pihak berkaitan di Singapura, termasuk urusan perayauan bagi memastikan ketersambungan lancar kepada penumpang yang bergerak antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, perkhidmatan itu menggunakan rangkaian 5G dan bukannya Wi-Fi, dengan akses disediakan menerusi pakej langganan pengendali telekomunikasi masing-masing.
Menurut MRT Corp, kerjasama itu akan menyokong penggunaan tiket digital, navigasi, komunikasi dan transaksi mudah alih di seluruh kompleks ICQC RTS Link.
Inisiatif berkenaan turut membuka peluang kepada MRT Corp untuk menjana pendapatan bukan tambang melalui penyewaan infrastruktur dan ruang telekomunikasi kepada pengendali rangkaian mudah alih.
Pertukaran memorandum persefahaman (MoU) itu berlangsung sempena Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, dengan disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
– BERNAMA
